Wednesday, May 20, 2015

Apa sudah jadi ....
Aku panjangkan dari blog http://naimnikmat

Friday, October 12, 2012

Radio klasik: Pantun tetapi bukan.
Saya peminat Radio Klasik, ke manapun saya pergi, utara atau selatan, sanggup bersusah payah mencari gelombang RK untuk mendengarnya. Tak dapat nak menyatakan sedalam mana minat saya dengan RK. Tetapi, bila sampai bab pantun ni, sakit hati dibuatnya.
Hampir setiap hari diperdengarkan pantun, tetapi yang disampaikan itu bukanlah pantun seperti yang saya belajar sejak dulu lagi. Yang saya tahu, antara ciri-ciri pantun ialah ada pembayang dan ada maksud; kalau pantun empat kerat hujungnya bercirikan a, b, a, b, yang bermaksud kalau hujung frasa pembayang a itu man, maka maksud a juga mesti man juga, begitu juga b. Malangnya, pantun yang sering diperdengarkan oleh RK itu tidak pula, tetapi ada pembayang dan maksud. Saya sering dengar hujung setiap frasa sama ada untuk pembayang dan maksud, adalah sama, kalau an semuanya an juga, macam syair. Tetapi kalau syair, mana pula adal pembayang dan maksud.
Yang seronoknya, DJ yang menyampaikan membacanya dengan penuh bangga, dengan puji-pujian katanya cantik pantun ini dan sebagainya, sedikitpun tidak rasa bersalah. Kadang saya terfikir, apakah mereka juga jahil tentang pantun, sepertimana penulisnya. Ini yang saya kesalkan. Seterusnya, saya fikir juga penerbitnya, dan mereka yang berkenaan. Apa sudah jadi? Saya tidak pula mengupdate pengetahuan saya tentang pantun ni, tidak tahulah saya kalau sudah berubah kot!
Kepada anak-anak di bangku sekolah, rendah dan menengah, jika hendak menulis pantun, semak dan kajilah ciri-ciri pantun dengan sempurna, jangan sembrono. Cuba cari buku tulisan Prof. Dr Asmah ke, Prof Nik Safiah, (?) dsb. Cikgu-cikgu pula, bagaimana?

Tuesday, October 4, 2011

Penggunaan 'di' TV1, TV2, TV3

Penggunaan 'di' di TV1, TV2, TV3, Radio semua saluran, semakin kelam-kabut, tunggang terbalik. Penggunaan yang begitu sembrono amat ketara dalam siaran-siaran berita, seolah-olah seluruh kakitangan institusi pemberitaan ini tidak mempunyai pengetahuan yang cukup, atau kelalaian mereka. Pada hemat saya penggunaannya seperti dipadankan dengan sturktur Bahasa Inggeris, tetapi kucar-kacir. Saya percaya sekiranya ada orang yang berkelulusan SPM sahaja pun jika menyemaknya akan dapat mengesan kepincangan ini. Persoalannya, mengapa terjadi begini? Apa sudah jadi dengan orang-orang yang makan gaji di bawah bumbung Dewan Bahasa dan Pustaka kita? Beribadahlah sedikit sambil bekerja tu. Bahasa Jiwa Bangsa.

Monday, November 22, 2010

Bahasa Melayu rojak

Bahasa Melayu kita sudah jadi macam rojak. Perkataan sahaja Melayu tetapi sturktur ayat dan rangkaikatanya terikat dengan bahasa Inggeris. Seolah-olah kita sudah tidak mempunyai jatidiri bangsa Malaysia.
Media-media nasional kita, media cetak mahupun elektronik, seperti sengaja merelakan diri untuk digunakan untuk mengembangkan bahasa Inggeris. Pengaruh bahasa ini semakin ketara dalam siaran-siaran berita dalam media elektronik seperti tv.
Penggunaan 'di' digunakan secara sembrono, langsung tidak mempedulikan maksudnya dalam ayat. Rosak dan mencemar bahasa Melayu kita. Ini belum lagi penggunaan rangkaikata yang menjadikan pendengar atau pembaca kita bingung kebetulannya. Kerana, bila digunakan berterusan, sedikit sebanyak akan mendapat tempat di minda anak bangsa Malaysia, apalagi murid-murid sekolah. Contoh, katalah hari ini, 23 November 2010, berita yang dibacakan menyebut, 'Perasmiannya akan dijalankan pada 12 Disember depan'. Ini membawa maksud, 12 Disember 2011. Jika maksud sebenar ialah 12 Disember 2010, sepatutnya di sebut 'ini' bukan 'depan', iaitu, 'Perasmiannya akan dijalankan pada 12 Disember ini.
Sesetengah golongan memang tidak setuju kerana mereka terikat dengan nahu bahasa Inggeris. Ini yang saya katakan macam rojak tadi. Mengapa kita mesti merelakan bahasa kita terikat dengan bahasa lain, sedangkan kita mempunyai bahasa kita sendiri. Fikirkanlah. Bahasa Jiwa Bangsa.